Tuesday 31 October 2017

54 anak Gayong lakar sejarah LULUS UJIAN KHATAM PANTAI

54 anak Gayong lakar sejarah
LULUS UJIAN KHATAM PANTAI
2 MUHARAM 1439 melakar sejarah dan kenangan terindah buat 54 anak Gayong yang menjalani ujian khatam Seni Keris di Tanjung Biru, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Awal pagi lagi, mereka berhimpun di hadapan Widad Villa untuk menjalani latihan terakhir dan diajarkan tiga buah penamat Seni Keris oleh Khalifah Besar Selangor, Cikgu Md Ezhar Abas sebelum meneruskan istiadat berkhatam di pantai.
Rata-rata peserta bersemangat untuk menyusur gigi pantai dengan air laut yang berombak pelahan. Mereka terpaksa mengharungi cabaran itu sebanyak tujuh kali berulang alik beramai-ramai dengan penuh ketabahan
.

Sebaik selesai mengharungi ujian di pantai, kesemua peserta kembali ke Widad Villa untuk menjalani adat bersiram disempurnakan Cikgu Mohd Sani Murni dan berenjis Cikgu Rahman Ibrahim sebelum tutup gelanggang.
Di akhir majlis, kesemua peserta menerima sijil kursus dan khatam Seni Keris dari waris Muktlak almarhum Dato’ Meor Abdul Rahman, Datuk Paduka Hajah Siti Fadzilah dan waris Amanah, Cikgu Sazali Meor Abdul Rahman.
Dalam ucapan YDP Lembaga Adat Istiadat Kebangsaan, Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM), Haji Mohd Anuar Haji Abdul Hamid, berkata beliau berasa terharu dengan sambutan dan semangat yang ditunjukkan kesemua peserta.


“Saya berharap apa yang dipelajari hari ini dapat diwarisi dan diteruskan untuk generasi Gayong akan datang. Kamu bakal menjadi pewaris Gayong yang akan mengantikan guru-guru lama yang semakin berkurangan,” ujarnya.

Sementara itu, Naib YDP 1 PSSGM Kebangsaan, Cikgu Rosman Ismail mengucapkan tahniah kepada kesemua peserta kerana berjaya melepasi ujian khatam Seni Keris.
“Walaupun nampak mudah tapi ia amat sukar untuk ditempuh oleh peserta sekiranya tidak mempunyai semangat kental, ketabahan dan kecekalan sewaktu mengharungi air laut dan ombak kecil.”
Cikgu Rosman Ismail mewakili YDP PSSGM Selangor, Dato Haji Zainal Abidin Haji Sakom yang tidak dapat hadir kerana ada urusan lain.
Majlis khatam Seni Keris dianjurkan Akademi Gayong Kuala Lumpur di bawah PSSGM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta mendapat kerjasama dari PSSGM Selangor.
Ia adalah lanjutan kursus Seni Keris yang diadakan di Gelanggang Tok Jenai, Kg. Padang Balang, Kuala Lumpur dibawah seliaan Cikgu Mohd Sani Murni dan Gelanggang Panglima Hitam, Batu Arang, Selangor dibawah selian Cikgu Rosman Ismail.
Istiadat khatam Seni Keris biasanya diadakan lima tahun sekali bergantung kepada jumlah penyertaan dan keperluan untuk menganjurkan majlis gemilang ini.



Sekali BerGayong, Selamanya BerGayong
Salam Ukhuwah dan Salam SeGayong
Foto : Mohd Radhi Hannan

No comments:

Post a Comment