Tuesday 31 October 2017

54 anak Gayong lakar sejarah LULUS UJIAN KHATAM PANTAI

54 anak Gayong lakar sejarah
LULUS UJIAN KHATAM PANTAI
2 MUHARAM 1439 melakar sejarah dan kenangan terindah buat 54 anak Gayong yang menjalani ujian khatam Seni Keris di Tanjung Biru, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Awal pagi lagi, mereka berhimpun di hadapan Widad Villa untuk menjalani latihan terakhir dan diajarkan tiga buah penamat Seni Keris oleh Khalifah Besar Selangor, Cikgu Md Ezhar Abas sebelum meneruskan istiadat berkhatam di pantai.
Rata-rata peserta bersemangat untuk menyusur gigi pantai dengan air laut yang berombak pelahan. Mereka terpaksa mengharungi cabaran itu sebanyak tujuh kali berulang alik beramai-ramai dengan penuh ketabahan
.

Sebaik selesai mengharungi ujian di pantai, kesemua peserta kembali ke Widad Villa untuk menjalani adat bersiram disempurnakan Cikgu Mohd Sani Murni dan berenjis Cikgu Rahman Ibrahim sebelum tutup gelanggang.
Di akhir majlis, kesemua peserta menerima sijil kursus dan khatam Seni Keris dari waris Muktlak almarhum Dato’ Meor Abdul Rahman, Datuk Paduka Hajah Siti Fadzilah dan waris Amanah, Cikgu Sazali Meor Abdul Rahman.
Dalam ucapan YDP Lembaga Adat Istiadat Kebangsaan, Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM), Haji Mohd Anuar Haji Abdul Hamid, berkata beliau berasa terharu dengan sambutan dan semangat yang ditunjukkan kesemua peserta.


“Saya berharap apa yang dipelajari hari ini dapat diwarisi dan diteruskan untuk generasi Gayong akan datang. Kamu bakal menjadi pewaris Gayong yang akan mengantikan guru-guru lama yang semakin berkurangan,” ujarnya.

Sementara itu, Naib YDP 1 PSSGM Kebangsaan, Cikgu Rosman Ismail mengucapkan tahniah kepada kesemua peserta kerana berjaya melepasi ujian khatam Seni Keris.
“Walaupun nampak mudah tapi ia amat sukar untuk ditempuh oleh peserta sekiranya tidak mempunyai semangat kental, ketabahan dan kecekalan sewaktu mengharungi air laut dan ombak kecil.”
Cikgu Rosman Ismail mewakili YDP PSSGM Selangor, Dato Haji Zainal Abidin Haji Sakom yang tidak dapat hadir kerana ada urusan lain.
Majlis khatam Seni Keris dianjurkan Akademi Gayong Kuala Lumpur di bawah PSSGM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta mendapat kerjasama dari PSSGM Selangor.
Ia adalah lanjutan kursus Seni Keris yang diadakan di Gelanggang Tok Jenai, Kg. Padang Balang, Kuala Lumpur dibawah seliaan Cikgu Mohd Sani Murni dan Gelanggang Panglima Hitam, Batu Arang, Selangor dibawah selian Cikgu Rosman Ismail.
Istiadat khatam Seni Keris biasanya diadakan lima tahun sekali bergantung kepada jumlah penyertaan dan keperluan untuk menganjurkan majlis gemilang ini.



Sekali BerGayong, Selamanya BerGayong
Salam Ukhuwah dan Salam SeGayong
Foto : Mohd Radhi Hannan

71 terima Sandang Kebesaran 2017 LAKAR SEJARAH GAYONG PERLIS

71 terima Sandang Kebesaran
2017 LAKAR SEJARAH GAYONG PERLIS
SERAMAI 51 gurulatih kanan dari Perlis, Kedah, Selangor dan Perak menerima sandang berjawatan manakala 20 lagi menerima sandang kehormat sempena Majlis Pertabalan Sandang Kebesaran Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) bahagian Negeri Perlis.
Majlis julung kali anjuran PSSGM Perlis di Dewan Angkatan Pertahanan Awam maju setapak lagi dalam memperjuangkan lagesi Gayong yang diwarisi daripada almarhum Dato’ Meor Abdul Rahman.
Majlis yang sepatutnya dirasmikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim kerana berada di Sabah digantikan wakilnya, Tuan Husin Yusof, Pengarah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda Negeri Perlis. Dalam teks ucapan yang dibacakan Tuan Husin Yusof, YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim mengucapkan tahniah kepada PSSGM Perlis kerana bekerja keras menjayakan majlis julung kali ini.

Cikgu Farady Omar Ditabal Sandang Panglima Pelangi Hitam (Negeri Perlis) Oleh Cikgu Sazali Meor Abdul Rahman (Waris Amanah) sambil diperhatikan Oleh Cikgu Rosman Ismail dan Cikgu Mufti Ansari (Waris Amanah)


Katanya, sandang kebesaran ini melambangkan status, tanggungjawab dan bidang kuasa yang diamanahkan kepada setiap penerima sandang. Sandang kebesaran ini merupakan hak istimewa Dato’ Mahaguru.
Selepas pemergian Almarhum Dato’ Meor Abdul Rahman kuasa menganugerahkan sandang kebesaran terletak kepada Lembaga Waris Amanah.
YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim menyeru kepada semua anak-anak Gayong ADMAR supaya bersatu padu dalam usaha memperjuangkan PSSGM demi agama, bangsa dan negara.
Sandang Berjawatan dianugerahkan kepada ahli dan murid Gayong bagi menentukan kekananan mereka dalam sesuatu majlis formal Pertubuhan. Kriteria penganugerahan berdasarkan kepada peringkat bengkung, aktif dalam Pertubuhan dan gurulatih.
Sementara Sandang Kehormat dianugerahkan kepada bukan ahli Pertubuhan sebagai penghormatan atas jasa mereka dalam membangunkan PSSGM. Kriteria penganugerahan berdasarkan kepada Susunan Keutamaan Persekutuan dari Warta Kerajaan Malaysia.

Cikgu Khairur Ditabalkan Oleh Cikgu Sazali pemegang waris amanah PSSGM 

Di majlis yang sama seramai 51 gurulatih kanan menerima sandang berjawatan dari pelbagai katogeri antaranya sandang Seri Mahkota Cahaya Pelangi membawa kepada Khalifah Besar.
Sandang Seri Cula Pelangi (Waris Beradat), Seri Bintang Pelangi (Ketua Beradat), Seri Relang Pelangi (Khalifah Kanan), Seri Cahaya Pelangi (Khalifah/Serikandi), Seri Pelangi (Khalifah/Serikandi Muda) dan sandang khas, Panglima Pelangi Hitam.
Manakala 20 penerima Sandang Kehormat terdiri dari 4 katogeri iaitu Mahkota Seri Relang Pelangi, Mahkota Seri Cahaya Pelangi, Mahkota Cula Pelangi dan Mahkota Bintang Pelangi.
Antara tetamu kehormat yang menerima sandang Kehormat. Dato’ Ismail Kassim, Tuan Husin Yusof, Datin Seri Dato’ Shamsiah Mohd Yassin, Dato’ Zainal Abidin Haji Sakom, Datuk Shaharuddin Abdul Rashid, Dato’ Ahmad Khairuddin Mohd Hashim dan Dato’ Haji Bing Selamat Amir.
Dalam Sandang Khas, YDP PSSGM Perlis, Farady Omar dan Muhamad Khairul Abu Nasir dari Selangor dianugerahkan sandang Panglima Pelangi Hitam. Ini berdasarkan kepada pencapaian mereka dalam memperjuangkan Silat Gayong di negeri masing-masing.













Peserta Demo Penutup
PSSGM PERLIS vs PSSGM SELANGOR



Salam Ukhuwah dan Salam SeGayong